Friday, September 14, 2007

Menyusuri Sungai Johor : Jutaan Terima Kasih YWJ dan PPJ



SERASA kami kembali menyelami dan menjiwai zaman sejarah Johor lama. Terima kasih kepada IKLAS di bawah Yayasan Warisan Johor dengan kerjasama Persatuan Penulis Johor (PPJ).

Menziarahi Makam Sultan Abdul Jala, yang telah berusia beratus tahun. Beliau juga dikenali sebagai Marhum ‘Batu’ (Sawar). Makam yang dulunya terletak di Batu Sawar ini telah bertukar nama kepada Kampung Minchu. Apabila mendengar penerangan En.Md.Azlan, Pegawai Muzium Kota Tinggi tentang Batu Sawar diserang Aceh, diserang Portugis dan rumah serta istana dibakar, saya terasa hiba sekali.

Seterusnya kami menyambung menyusuri sungai, sehingga ke Seluyut. Dan menziarahi Makam Nenda Tun Seri Lanang, Bendahara Maharaja Tun Isap; seterusnya mendaki lagi utuk ke Makam Raja Fatimah, Makam Sultan Abdul Jalil dan Sultan Muzaffar Shah. Dan teru ke puncak, di mana ianya dipercayai tapak istana Kota Seluyut. Kedudukannya di atas bukit memang strategik untuk dijadikan pusat pentadbiran kota itu.

Jam 11.15 pagi, ekspidisi diteruskan ke Kg.Panchor yang kebetulan sedang mengadakan acara sukan air. Suasana cukup meriah dengan perlumbaan bot, kanak-kanak, orang tua saling seiring berbaris di tebing sungai. Kg,Panchor, di sinilah terletaknya Makam Tengku Dara (serikandi yang turut mempertahankan Kota Panchor suatu ketika dulu). Kami perlu mendaki bukit 45darjah sebelum sampai ke makam tersebut. Di seberang jalan (bawah) sedikit, kami ke Makam Sultan Abdul Jalil, yang mana batu nisannya hampir sama dengan ketinggian saya.

Kami seterusnya menyantap menu tengahari betul-betul di tapak Kota Johor Lama. Seusai makan itu, kami mendengar ceramah dan pandangan beliau tentang nilai-nilai murni dalam karya daripada Ketua Satu PEN, Pn.Hajah.Mahaya Mohd.Yassin.

Begitulah sedikit sebanyak catatan perjalanan penting mengikuti program penuh bermakna ini, lebih-lebih lagi kepada kami anak jati tanah selatan, daksina, Johor negeri kecintaan. Apabila menyingkap sejarah dengan cara begini, benar-benar membuatkan perasaan rasa terharu, sebak, kadangkala sayup dan sedih, betapa saya hidup dan menghirup nafas dengan penuh terima kasih dan syukur atas perjuangan yang tidak berbelah bahagi mereka, leluhur. Al-Fatihah...

Salam Sayang Sastera,
Ren.

1 comment:

Serunai Faqir aka SF said...

Amboi pergi sorang2 nampak? hehehe