Monday, August 20, 2007


Inti : Seusai Lima Dasawarsa
(Mingguan Malaysia, 12 Ogos 2007)


KEBIMBANGAN kepada limpahan kemasukkan warga asing yang mencari kerja di tanah tumpah darah kita ini sama ada masuk secara izin atau sebaliknya, menjadi sumbu idea kepada Seusai Lima Dasawarsa. Tidak dinafikan peningkatan graf kerunsingan dan kekhuatiran di kalangan warga negara sendiri turut memuncak apabila diganggu oleh perlakuan mereka yang tidak menghormati undang-undang tanah tercinta ini.

Di sisi lain, disisipkan keresahan leluhur tentang daerah libur yang terlalu taksub dengan bedak hibur dan gincu nyanyi. Bagaimanakah nanti wajah pelapis dan pewaris bangsa lima dasawarsa akan datang? Akankah kelak mereka rancu dan keliru dimomoki comot dan celoreng bedak dan gincu itu?
Adakah seusai lima dasawarsa ini, leluhur akan turun ke tanah ini demi mengingatkan kembali agar anak watan kembali kepada roh dan akar bangsa – budaya, bahasa Melayu, agama (malah leluhur menegaskan jangan dikuarantin pegangan hidup ini).Kerana akar dan roh inilah yang pernah diserapkan ke dalam jiwa : leluhur, pendeta, pejuang bangsa, para pemikir dan cendekia demi kelangsungan sebuah negara bangsa.

Tuesday, August 14, 2007

Setelah Santap Tempura


Setelah Santap Tempura

i
KALI pertama berjumpa dan kenal - dia adalah antara panel yang membedah karya sulung cerpen saya selain presiden kelab KEPEZI sendiri, Sdr.Zaharah Nawawi pada 2002. Dia yang dimaksudkan adalah Sdr. Tiras R.

Dan untuk yang ke sekian kalinya perjumpaan, kali ini lebih lama sambil menyantap hidangan tempura; kami – Sdr. Tiras, Serunai Faqir dan saya – berbicara dan berbincang setelah lama tidak bertemu. Dari cerita kekangan kerja, tanah sejuk Hokkaido, gema gendang, animasi Naruto, Takuya Kimura; lalu kembali kepada akar pertemuan tadi – jalur kami, penulisan.

Kerana Sdr.Tiras maklum, saya begitu meminati budaya dan cara malah cuaca di Jepun, beliau telah memberikan ‘kenangan-kenangan’nya semasa di sana kepada saya. Sakura, salju - [Takako Tokiwa, Kyoko Fukada, Ayumi Hamasaki, dan ‘FirstLove’ Utada Hikaru, antara yang saya minati dahulu] – dan ‘Beautiful Life’ : Shiuji, Kyoko dan segala kesyahduan dalam drama itu yang mengusik semula ‘semangat dan pengaruh’ yang pernah melintas dalam diri sebelum ini. Dan saya menyedari kemudian mengingati sendiri dalam premis fikir, babak seorang kekasih lelaki yang baik, membedakkan wajah sekujur jasad teman wanitanya yang telah mati kerana sakit kronik. Dalam perbualan dan sembunyi resa itu, saya sedar kelopak ini menakung rintik.

‘Kenangan-kenangan’ Sdr.Tiras yang diberi, akan saya cuba manfaatkannya ke dalam karya kelak. Atau setidaknya menjadi rujukan dan ilmu yang sangat bermakna kepada saya. Terima kasih, Sdr.Tiras.

ii
TERDAHULU, saya dan Serunai Faqir – di sebelah pagi – menghadiri satu majlis di DBPWS. Mengkagumi pemikiran dan karya-karya beliau, sempat kami bertemu dan memohon kata-kata semangat daripada Dato’ Dr.Anwar Ridhwan. Lalu beliau menurunkan tandatangannya di Naratif Ogonshoto yang saya bawa. Sebelum itu, Perasmian Pusat Dokumentasi Melayu Shaharom Husain telah diadakan DBPWS.

iii
SYUKUR, majlis di sebelah malamnya berjalan dengan lancar, meriah dan gemilang. Majlis telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Abdul Ghani Othman.
Terima kasih yang berantaian semestinya diberikan kepada kerajaan Negeri Johor di bawah Yayasan Warisan Johor dan dengan kerjasama GAPENA, DBPWS, MKNJ dan PPJ. Usaha mengiktiraf dan memartabatkan karya dan penulis anak jati Johor dan yang telah menetap atau bermastautin di negeri Johor sekurang-kurangnya lima tahun semasa karyanya dipilih dan dinilai; menzahirkan kesungguhan dan komitmen Kerajaan Negeri Johor sejak 1996 di dalam pengembangan bahasa Melayu dan sastera.

Berikut adalah hadiah bagi kategori utama :
Hadiah Karyawan Sastera Johor – Shaharom Husain
Hadiah Cipta Karyawan Muda Johor – Zaid Akhtar (Mohamad Yazid Abdul Majid)
Hadiah Karyawan Bukan Melayu – TH Lim (Lim Tiam Hion)



Salam.Sayang.Sastera.