Wednesday, November 04, 2009

Tiga Minit Tenangkan Fikiran

Selain menutup mata, dan membayangkan rimbun hijau pokok-pokok, langit-langit biru, laut-laut biru - selain menghilangkan rasa mengantuk, untuk seketika menghilangkan tegang saraf di mata dan otak, saya berlari ke ruang hadapan untuk melihat hujan bila terdengar bunyi hujan yang mula mendesah. Meminta tiga minit untuk melihat hujan. Rintik yang membasahi jalan, bumbung kereta, membawa daun-daun kuning dan kering.

Kata seorang teman, hujan punya irama. "Ren, cuba lihat dan dengarkan. Hujan itu ada iramanya." Saya masih ingat kata-kata teman penulis yang prolifik dari tanah tinggi yang dingin itu. Dan saya senang melihat hujan, melihat teja dirantai pelangi. Meski, kadangkala guruh silang menyapa. Tentu ada sebabnya.


selepas hujan

di hujung ranting kering
setitis harap berbaring.

di pucuk daun kuning
setitik degap hening.

di puncak gunung kontang
sejalur pelangi petang.

(Berita Harian, 21 Mac 2009)

8 comments:

Melihat Kesunyataan said...

Rendra,
Di kerajaan hujan kadang-kadang kita terpukau dengan lembut kasihnya dan keras kuasa takdirnya.

Lumut Pagi said...

salam mas.

bila berbicara tentang hujan, saya terpanggil kembali untuk memikirkan titp seorang teman buat saya.teman dari seberang.katanya:

"jija..bulan, matahari dan bintang saudara dekat dan saling bercerita; suka dan duka, bersama".

kata teman saya:

"berhenti di sini.Pesan angin pada ribut kerana semalam bulan sakit. bulan, sampaikan salam pada bintang agar matahari tahu kau sendiri, sekali lagi..."

*saya senyum mengenang hujan,bulan,matahari,bintang kerana semuanya dari Khaliq-yang mengatur alam*

Wahyu Budiwa Rendra said...

tn.hj yang dihormati. tentu mengajak kita berfikir dan merenung sama.

Wahyu Budiwa Rendra said...

sdr LP. terima kasih menitip pesan dan jejak. begitu, kitaran yang selalunya membuat kita ingat sebagai pencatat, menulis dan lebih tersentuh.

Md Nizar Parman said...

Salam Ren,
Alangkah indahnya jika dapat memahami "bahasa alam"....

Azhar Salleh said...

Salam DINDA WAHYU,
Ada sebuah lagu Search, Setelah Hujan. Puisi ini sehebat lagu itu. Saya sendiri pun, begitu asyik dengan hujan. Ya, saya memang suka ketika hujan membasahi bumi. Salah satu lagu yang amat saya suka dengar ialah Hujan (Sofea). Saya sentiasa berasakan bahawa hujan yang turun akan memberikan rahmat dan saya berasa amat tenang ketika itu. Mudah-mudahan hujan yang turun akan menghadiahkan sejalur pelangi petang untuk kita...

Wahyu Budiwa Rendra said...

sdr.nizar. benar, kita sebenarnya sentiasa cuba belajar memahami bahasa alam. tapi sukar hendak faham(?) atau buat tidak faham.

Wahyu Budiwa Rendra said...

salam kanda azhar. bulan november dan disember, bimbangnya hujan bersuara lebih garang. suaranya seperti menghantar laskar perang.