Monday, December 14, 2009

Salam Maal Hijrah 1431

Dengan ingatan tulus ikhlas; kepada pembaca dan pengunjung blog ini -
semoga segalanya berada di dalam lindungan reda dan rahmat Pemilik. Selamat datang 1431, selamat datang daerah baru. Selamat datang 31 :


Antara Seratus Anggerik dan Seratus Puisi

1
daerah baru diteroka nanti - jujur
tidak mahu berjanji diwarnai
sejuta mawar wangi, atau
kemilau kencana seluas wadi.

di daerah baru dibangunkan nanti – luhur
tidak mahu bersumpah di tanah subur
seratus anggerik warni, atau dikelilingi
kota harta seindah kerdip bintang tujuh pelangi.

di daerah baru ditempuhi nanti – tulus
tidak mahu berikrar angkuh direngkuh
nikmat zulmat hayat sebentar
diwajahi samar senja, renta cuma percuma.

di daerah baru dikecapi nanti – ikhlas
tidak mahu hilang peta resa,
sesat jejak resah dari dakap harap;
titip doa tanda teragung tinta bahagia.

2
antara seratus anggerik dan seratus puisi;
izinkan segala harapan menghiasi puitis diksi
menjadi taman daerah hadapan kita, maharani.



(Mingguan Malaysia, 13 Dis.2009)

7 comments:

Syaidul Azam Bin Kamarudin said...

tahniah.

Azhar Salleh said...

SAlAM DINDA WAHYU,
Tahniah! Puisi yang mendebarkan dan mengujakan. Langkahmu diiringi doa untuk terus melakarkan wajah sastera!

Unknown said...

Salam. Selamat menyambut awal muharam. Semoga tahun yang mendatang ini terus dilimpahi rahmat daripada Allah. Puisi yang amat puitis dan menggembirakan hati si pembaca. Tahniah Bro!

"Bro" singkatan bahasa Inggeris yang paling saya suka kerana unsur kemesraannya yang bersahaja.

Md Nizar Parman said...

Salam Ren,
Keindahan atau unsur estetika dalam sesebuah puisi ialah kita akan tergerak hati untuk membacanya berulang kali untuk mendekati dan mencari erti.... Tahniah!

Wahyu Budiwa Rendra said...

sdr.syaidul azam - terima kasih.

kanda azhar - kanda, terima kasih atas doa. mendebarkan.he.he.

sdr.shamsudin - terima kasih. insya-Allah, semoga tahun baru membawa bersama erti baru; dalam limpah kasih-Nya.

sdr.nizar - aduhai, saya perlu mengesaninya lagi. salam maal-hijrah 1431.

Rusdi Abd Rahman said...

Sdra. Wahyu,
Salam Tahun Baharu 1431 Hijrah.

hentian said...

Indah puisi ini. Diharap seindah ketulusan bila azam baru diungkap...