Sunday, December 21, 2014

Bianglala Oktober

i.
setiap oktober
renyai aksara
gerimis angka,
resah warga
di depan kaca.

ii.
cantik kosmetik -  
tebal
bedak gincu,
maskara.

iii.
cair solek -  
hujan
ribut,
banjir
lumpur,
pokok, jejantas.

iv.
bentar reda,
bianglala
senyum singgah;
gusar, sabar, tawakal –

dan pergi.


W. B. Rendra
Johor Bahru
(BH Ahad, 19 Oktober 2014)

Wednesday, November 20, 2013

membaca dari rusuk langit

i
menyingkap helaian kapas-kapas awan
terapung – susun kata dari
naskhah manuskrip pernah lalu,
gumpalan menembusi debu jerebu.

ii
demi semakin membaca, akrab abdi
kembali sedari dari rusuk langit
dalam lingkaran sedar, segala
hakiki hanya fiksi, segala
abadi hanya Empunya; kita
yang citra galau sering
menanya dan berpura, ghairah
untuk memilik dan menakluk.29

iii
berlari dari tanggap takdir;
menuju singkap hayat akhir,
di luar keliru –
sesuatu hilang dan terbang
menuju umbun petala.


  
-          w. b. rendra
       Johor Bahru.


(Mingguan Malaysia, 3 Nov. 2013)

Selangkah 1435


i
semakin hari, semakin kusirami
tanah diri dengan mual, dan
tumbuh benih mabuk yang
menusuk – dalam kemabukkan
itu, semakin hari semakin kubaja
tanah diri dengan tuba, aku belum
upaya untuk berlari sendiri,
sedang perjalanan masih jauh
dan belum (tidak) pasti –
masihkah berbaki,
tetapi semakin hari, semakin
kuracuni diri dengan duri
dalam hati, membengkak – aku
semakin jauh dan menjarak.

ii
musafir khuatir
hamba damba
kasih Pengasih;
selangkah membuka
lembar 1435.
  

-          w. b. rendra,
Johor bahru.

(BH Ahad, 3.11.2013)


Friday, August 30, 2013

Menjabat Syawal

kelmarin kutemui ramadan,
kuluah perasaan dalam sendu,
terlalu banyak aku mengadu;
tentang duga, noda dan nafsu,
masa memang curiga-cemburu -
semalam dia pergi meninggalkanku
lama aku mendakap-erat, tiada janji
adakah akan kutemui lagi, sendiri
masih keliru; aku rancu-rindu.
sambil melambai dia berpesan
aku bakal bertemu syawal.
kata ramadan kepadaku, tenang
dan raikanlah kemenangan.

pagi ini,
aku menjabat senyummu, syawal.
temanmu ramadan, masih wangi
dalam ingatan.

   
-          w. b. rendra,
Johor Bahru.


(Berita Harian Ahad, 12 Ogos 2013)