Tuesday, August 06, 2013

Duit Raya nak buat apa? (untuk adik-adik)

Selamat hari raya 2013. Salam Syawal 1434 H. 

Tulisan kali ini sengaja ditulis ringkas, ditujukan khas untuk adik-adik yang dapat banyak duit raya. Duit raya nak beli apa? Hmm, adik-adik ajaklah emak dan ayah ke Tabung Haji atau bank ejen ASB. Buka akaun Tabung Haji ataupun akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB). Adik-adik boleh guna duit raya tu untuk beli buku atau apa yang diinginkan, tapi janganlah guna semua ya. Bukan senang nak dapat duitkan? Kalau dapat RM500, mungkin boleh guna RM50 atau RM100, selebihnya simpanlah di Tabung Haji atau ASB. Jangan simpan bawah bantal.he.he. Awal tahun depan, ajak emak atau ayah kemaskini buku akaun. Insya-Allah, boleh dapat ‘untung’ daripada simpanan. Duit 'untung' itu kita boleh buat beli buku sekolah awal tahun depan. Kalau adik-adik simpan sampai raya tahun depan, duit ‘untung’ itu boleh beli baju raya atau kasut raya baru. Kita boleh tolong emak dan ayah, tak perlu beli baju raya untuk kita tahun depan :)) 



untung = dividen

Thursday, July 04, 2013

kepada bunga yang dimiliki


di antara sekian kuntum dan harum
sebenarnya ada pemisah yang nyata,
tembok takdir yang hakiki.

namun, aku sengaja memilih yuda
dengan perasaan. dan kau tidak penah
kujemput ke dunia fiksi ini.

yang tegar berbunga adalah emosi
dalam cereka taman pelangi.
aku cuma menduga inspirasi
dan setia menyusun diksi.

maafkan aku,
menjadi penikmat aromamu
dalam rahsia;
bunga yang dimiliki.


w. b. rendra

johor bahru.

(Berita Harian, 23 Jun. 2013)

Monday, February 25, 2013


selamat tiba tiga belas

1.
selamat tiba tiga belas
dengan dura-luka
kauhadir untuk dibebat,
belati dusta semakin menyiat,
rostrum menjadi papan pemotong
daging darah sudara serpih selerak
bersama maruah bangsa, kian diselak –
yang tawa dan canda – siapa,
yang tangis dan kecewa – siapa,
yang tunggu-terkam, yang dungu-diam,
dalam kamar-samar-dengar
tawa dan tangis, canda dan kecewa
saling-silang menjadi mangsa.

2.
selamat tiba yang berhormat
bagaimana tinta-kata dahulu
sudah dibina menjadi kota,
bagaimana jambatan-jalan dahulu
sudah diturap, masih berkurap -
sergah seteru dengan laung yuda
tidak lengah untuk dijeda,
selamat yang berhormat, tugas digalas
diasap-wangi limau setanggi
dibalut dengan dewangga daulat
dari lembar perlembagaan martabat.

selamat tiba tiga belas,
selamat tiba yang berhormat.


-          w. b. rendra
Johor Bahru.

(Berita Harian Ahad, 24 Februari 2013)

Wednesday, February 20, 2013


Setiap Setengah Windu (ii)

setiap setengah windu
purnama mengambang malu
-          tiga belas,
serigala masuk ke belantara
lapar mencari mangsa,
jaket bulunya ditukar –
ayam gigil kesejukan.

keluar dari belantara, masuk
ke kota-kota, masuk ke desa-desa,
jaket bulunya ditukar –
merpati geletar kesejukan.

serigala yakin meyakinkan,
dengan nyala nyalakkan
dari wadi ke wadi, dalam
dari gunung ke gunung, curam
dari gaung ke gaung, nyaring
(auwwo … auwwoo … auwwooo),
purnama mengambang penuh,
serigala berdiri di atas podium.

 -          w. b. rendra,
johor bahru.

(Mingguan Malaysia, 3 Februari 2013)

Friday, October 05, 2012

Pedang Kata-kata


pedang kata-kata kembali dilempar
ke udara, menikam sesiapa yang
kemaruk resa untuk diluka –
nyawa bukan taruhan, seperti
sebuah masa hadapan.

kotak tengkorak kaubuka
dengan bilah pedang kata-kata,
membiarkan otak yang berselerak;
keras-sanggup hati kauperlaku,
fikir yang kian menganjak
ke siku, ke lutut, ke kaki kaku,
hanyir darah itu memercik
lebuh damai, damai yang suci.

oh, kaubersenda dengan
pedang kata-kata sehingga
melukakan mata,
melukakan anggota,
melukakan seluruh,
melukakan selaksa,
melukakan merdeka.



-         w. b. rendra,
johor bahru

(Mingguan Malaysia, 16 Sept. 2012)

Tuesday, December 06, 2011

Teja, Jarum-jarum Gerimis Gugur

teja, jarum–jarum gerimis
gugur dalam dewangga bentar
semakin menusuk tubuh wangsa,
kalbu luka hilang kompas dan peta.

teja, jarum–jarum gerimis
gugur seusai pelangi melakar
langit cerlang, ada keliru
semakin berbaur; antara
hujan dan reda - roh apakah
merasuk membibit kufur syukur.

teja, jarum–jarum gerimis
gugur ketika deru pawana alpa
deras menerpa kisah sejarah,
semakin jauh jurang juang
membebat kasih bangsa.


- w.b.rendra,
johor bahru.


(Mingguan Malaysia, 4 Disember 2011)

Monday, May 09, 2011

Pusat Rujukan Persuratan Melayu

Pusat Rujukan Persuratan Melayu atau PRPM merupakan kamus maya yang sangat membantu. PRPM adalah pusat carian kata dan perkataan yang disediakan Dewan Bahasa dan Pustaka secara percuma. Taip sahaja perkataan yang ingin dicari ertinya, dalam masa beberapa saat PRPM akan menyenaraikan makna perkataan tersebut. Di sebelah kanan pula akan diberikan tesaurus bagi perkataan tersebut. Malah bagi sesetengah perkataan yang turut terdapat dalam ‘puisi’ atau ‘peribahasa’ akan dipaparkan contoh bagi ‘puisi’ dan ‘peribahasa’.

Begitu juga, terdapat pilihan untuk menggunakan ‘Kamus Bahasa Inggeris’, ‘Istilah Malaysia’ dan ‘Bahasa Sukuan’. Jika ditelusuri, PRPM lebih sekadar kamus maya kerana kita dapat mencari berbagai dokumentasi yang telah direkodkan. Saya sering menyarankan kepada teman-teman penulis dan rakan sekerja menggunakan PRPM untuk mendapatkan makna dan penggunaan perkataan yang tepat, juga rujukan bagi senarai karya seseorang penulis. PRPM sangat membantu. Terima kasih, DBP.

Tuesday, April 26, 2011

Dan Hadir Sesetia Janji

tujuh petala langit erang
nafasmu bersilang, dalam
mandala runsing lengkara
dibilang, dan sesetia janji –
aku persis udara mengisi
ruang relung khuatir; sesak
menghimpit rengsa
sebuah harapan hidup.

genggam jemarimu kejap
keruh gementar, rengkuh gusar
menebus jurang tafsir sebalik
singkap takdir gender, suri.
seusai yuda sepertiga malam
perlahan azan mengiringi
sebak syukur ke cuping comel,
dakap dirimu erat semahu
zahir resa yang hadir
damba saksi dilahir.

untuk sekian kali,
demi ikrar dan akadku
dan hadir sesetia janji
persis udara memberi nafas
setiap detik cinta dilafaz.



-W.B.Rendra,
Johor Bahru.


(Mingguan Malaysia, 24 April 2011)

Ayumi, membawa putih doa-doa wangi

(mengenang tragedi 11 Mac 2011)


1
ayumi, bersama aksara-aksara ini
kulampirkan merpati simpati
membawa putih doa-doa wangi.

di atas rasa insani sungguh menyedari
dan kita sebenarnya bukan siapa-siapa
berdiri di muka bumi.

ayumi, Dia lebih mengerti, membawa hadir
kemudian kembali dari duri dunia ke akhir;
ke fasa baru takdir yang lebih abadi.

2
(Ayumi, maafkan diriku
yang berulangkali mentafsir
senaskhah sejarah yang kau kirimi –
lewat sakura gugur di hujung jemari,
sejujurnya lebih kepada mencari
jati diri bangsa terhakis pergi
oleh gelombang globalisasi
di tanah tumpah darah kami)

3
ayumi, membawa putih doa-doa wangi;
menjadi dewangga diri – tenanglah bersemadi.




-w.b.rendra,
johor bahru.

(Berita Minggu, 17 April 2011)

Monday, March 14, 2011

Diari Seorang Pemetik Duri

1
seorang yang berani memetik duri
dari pohon nanar tumbuh subur di ladang
sangsi, duri-duri dihimpun dalam bakul abdi –
sungguh dia seorang yang memahami
tentang makna sementara dan abadi.

dia - memang berani memetik duri
dari kebun ditabur baja muslihat diri,
balik dari sebalik rimbunan pohon
mengerti saling mengerti, biar berlari –
bersaing tanpa gusar menanti mati.

2
berani seorang pemetik duri,
jauh lebih berani dan tergamak hati
menyuap duri-duri ke bibir anak isteri
luka kerongkong, darah mengalir dari
mata masa depan(bangsa)nya yang ngeri
melangkaui jeda masa dan jeriji.



- w.b.rendra,
Johor Bahru.


(Mingguan Malaysia, 13 Mac 2011)

Thursday, December 23, 2010

Al-fatihah buat Bekas PAT Jen (B) Tun Ibrahim Ismail


23/12/2010 12:07pm (Utusan Online)

KUALA LUMPUR 23 Dis. – Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen (B) Tun Ibrahim Ismail, 88, meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini awal pagi tadi.

-------------------------------------------------------------------------------------------------


Saya pernah menulis sebuah sajak inspirasi daripada buku beliau Pahlawan Melayu. Sajak Kepada Pahlawan Melayu disiarkan di Mingguan Malaysia pada 13 Julai 2008.

Al-fatihah buat Allahyarham Jen(B) Tun Ibrahim Ismail.

Tuesday, November 23, 2010

Menunggu

1
noktah;
sehelai detik
gugur,
angka bukan ukur,
sedar debar sedia –
khuatir berbaur.
raksi mendakap,
dingin diangkat
langit.

sendiri
menanti kuntum
kalam,
kau tabur di atas
kepuk kenangan
bersama
nostalgia
mengalir
hangat
dari mata.

sendiri
menanti
bait bunga
diksi doa
warna
cinta
kau siram.

2
sendiri
menunggu
raksi mendakap,
dingin diangkat
langit.




W.B.Rendra,
Johor Bahru.

(20 Nov.2010, Berita Harian)

Tuesday, November 16, 2010

Salam Aidil-Adha 1431H

Aidil-adha 1431 H

menoleh -
menggenggam
senaskhah usia;
kanak-kanak
remaja.

membaca
(semula)
pengorbanan
emak dan ayah.

2
menulis
dalam
jilid,
edisi
kami.




- w.b.rendra
Johor bahru.

Monday, October 25, 2010

Selapis Langit Bukat

1
selapis langit bukat membalut hati kaudu
setelah sebelah belati menyiat setiap sirat,
masih tidak mampu – memilih
berdiri pongah membusung
nanar likat, semakin sebati dengan darah,
berlari kudrat bersama kesumat, membebat
selaksa kudis-luka mengalir pekat.

disorok gelodak ombak yang lahir
dari durja dusta, menerjang amuk gelombang
debur-nyaring-kasar menghempas kekaburan
semakin melahar – dan tampak
kecelaruan sekian melebar, pasir prasangka
memotret bahasa tubuh; tidakkah
kurnia keikhlasan zahir secara alamiah?

2
kerut masa akan memamah angkuh
rahsia usia berada dalam genggam takdir
sejauh menara mana kepak keliru
mahu terbang membawa semua semu;
kelak kembali ke liang akhir,
ditara-ditimbang batin dan lahir
kerana segala ini milik al-Khabir.



- W.B.Rendra,
Johor Bahru


(Mingguan Malaysia, 24 Okt. 2010)

Friday, October 15, 2010

Hadiah Sastera Darul Ta'zim VIII 2011


















Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor yang dengan tekal setiap dua tahun sekali menganjurkan Hadiah Sastera Darul Ta'zim(HSDT). HSDT merupakan pengiktirafan kepada penulis Johor melalui karya-karya yang dihasilkan dan menjadi tanda kelangsungan perkembangan kesusasteraan negeri Johor khasnya.

Pada tahun depan, HSDT melewati siri kelapan. Melalui Yayasan Warisan Johor dan dengan kerjasama Persatuan Penulis Johor(PPJ), Gapena, DBP Wilayah Selatan dan Majlis Kebudayaan Negeri Johor mengalu-alukan penyertaan karya penulis Johor (syarat-syarat seperti yang terkandung di dalam borang) pada tahun siaran/cetakan 2009 dan 2010. Sila klik gambar di atas.

Monday, September 27, 2010

Mengenang Sebutir Permata dari Daerah Pejuang

(Dedikasi Allahyarham Ayahanda Dr.Gunawan Hj.Mahmood)


Pada petang mendung menyelubung diri
rentet langit kelabu mengendong gelisah negeri
bulan syumul, khabar takdir
dihembus sedu nafas tangis -
di sebalik lembaran rahsia Pengasih
atas apa yang tertulis-berlaku
Dia Maha Tahu.

Namun, resah tetap merusuh menyentap
indera hamba, di ruang juang jeda
dijemput kembali kepada-Nya -
27 ramadan 1431, kau insan terpilih.

Menderu panggilan, pesanan ringkas
bertanya lewat khabar tersebar pantas
dari renyai semakin deras-desah selatan :
kembali sebutir permata dari daerah pejuang
kembali pena kencana dari tanah daksina
kembali senaskhah kehidupan dari kutubkhanah sejarah.

Dalam sebak kepayahan kami membaca
mengutus berulangkali al-fatihah, menatap
sekujur wajah bersih, tenang -
sejujur kisah kasih, terbang :
kembali bersama selaksa kenangan keluarga
kembali bersama selaksa harapan teman
kembali bersama selaksa cita dan taman,
setiap detik masih meniti di bibir -
jasabudi-jasakarya diungkap bicara
hingga ke akhir.



- W.B.Rendra,
Johor Bahru.



(Berita Harian, 25 Sept. 2010)

Thursday, September 23, 2010

Empayar IX


15 Syawal 1431 H

Esok 15 Syawal 1431H adalah hari lahir saya. Manakala, di atas ini ialah wajah ‘anak ke-4’ selepas dua orang kakaknya; sebuah novel dan sebuah kumpulan cerpen serta seorang abangnya sebuah buku motivasi santai.

Sebenarnya, ia lahir pada 18 September 2010, sehari selepas hari lahir saya, 17 September. Namun, telah saya namakan awal dahulu dengan nama Empayar IX. Mungkin, atas sebab kesihatan Empayar IX masih berada dalam jagaan, dibedung, dibedak dan belum boleh berlari-lari atau bermain-main di halaman pasaran. Empayar IX dijangka dapat bertemu teman-teman yang lain dalam waktu terdekat.

Insya-Allah, saya akan berkongsi maklumat lengkap sejurus selepas Empayar IX bermain-main di pasaran. Berikut sinopsis Empayar IX dalam bentuk puisi yang dipetik (hanya dari stanza ke-3) dalam buku tersebut :


saat ditinta sepucuk warkah setia
(dedikasi Paduka Raja Tun Abdul Jamil)

...
...

3
Paduka Raja, hambalah marhaen pertama
mendabik gembira ketika membaca
Kerajaan Johor berada di puncak cerlang
di bawah naung Sultan Ibrahim Syah;
di bawah laung angkatan Paduka Raja
1679 menakluk Jambi, mengambil semula semua
sebenarnya adalah milik kita pernah hilang;
membawa di kanan kiri panji-panji terbilang
membina sebuah Empayar IX yang meniti
di bibir jelata – hambalah anak jati Johor
yang akan selalu mengenang jasa
Paduka Raja, biarlah sejuta panah sayap pikam
menembusi langit sejarah pernah merah hitam.



johor bahru – pekan, pahang.

Wednesday, September 22, 2010

Dengan izin-Nya jua

Tulis semula sejarah bangsa secara kreatif - MB

JOHOR BAHRU 19 Sept. - Golongan sejarawan disaran menulis semula perjalanan sejarah negara dan masyarakat negara ini dengan mengolahnya secara lebih kreatif supaya menarik minat generasi baru untuk lebih menghayatinya.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, adalah lebih menarik dan berkesan sekiranya para penulis dapat memaparkan secara kreatif pergolakan yang berlaku di kalangan masyarakat lampau dalam bidang pembangunan ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya menerusi persepsi baru yang lebih segar.

Menurutnya, penulisan semula sejarah tempatan perlu diteruskan dengan berpaksikan hasrat dan keinginan untuk menyerlahkan peranan masyarakat tempatan dalam sejarah perjuangan bangsa.

''Usaha tersebut dapat memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai perjalanan sejarah bangsa dan negara. Bukanlah bermakna sejarah yang tertulis tidak betul. Apa yang saya maksudkan adalah penulisan semula sejarah bangsa dan negara dengan tujuan untuk 'meluruskan' segala yang telah tertulis.

"Para sejarawan patut menggali semula apa yang sebenarnya berlaku di kalangan kelompok masyarakat pada zaman tertentu dengan penuh rasa keinsafan bagi mewujudkan keadilan," katanya dalam teks ucapan pada majlis penyampaian hadiah Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor III di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, semalam.

Teks ucapannya itu dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil.

Rahimah Muda muncul pemenang utama dengan karya Tiara Pesona dan menerima hadiah wang tunai RM40,000 termasuk RM5,000 hadiah sagu hati bagi karya Bahtera Tuan Saya Layarkan.

Tempat kedua menjadi milik Allahyarham H. Sudarno Mahyudin, peserta dari Pekan Baru, Indonesia untuk nukilan bertajuk Hikayat Raja Kecik yang melayakkannya menerima hadiah wang tunai RM25,000.

Novel Empayar IX nukilan Wahyu Budiwa Rendra A. Wahid pula dipilih sebagai pemenang ketiga dengan wang tunai RM15,000.

Lain-lain pemenang sagu hati adalah Razali Endun menerusi karya Tawarikh Ibu, Mohd. Kassim Mahmud (Membebat Martabat), Abdul Latif Talib (Darah Mengalir di Batu Pahat dan Dato' Onn Jaafar).

Dalam pada itu Abdul Ghani turut menyarankan agar dalam sayembara seterusnya, tumpuan harus diberikan kepada penulisan bersandarkan sejarah sosial masyarakat Johor masa lampau.

Katanya, adalah lebih menarik sekiranya para penulis dapat memaparkan secara kreatif pergolakan yang berlaku dalam masyarakat lampau supaya generasi muda lebih berminat untuk menghayati sejarah.


(Sumber : 20.9.2010, Utusan Malaysia)

Friday, September 17, 2010

Setelah 11 Hari

Mengenang Allahyarham Ayahanda Dr.Gunawan Hj.Mahamood


Hari ini 17 September - setelah 11 hari, pemergiannya akan selalu dirasai. Saya sentiasa terkenang gurau, ketika berbual dan pengorbanannya. Meski kenyataan ini terlalu pahit. Cepat-cepat saya mengirimkan al-fatihah buat arwah. Dan mengerti tentang takdir.

Allahyarham Dr.Gunawan Hj.Mahamood adalah antara pencetus kepada minat saya kepada pembacaan, buku dan majalah. Beliau dan seorang lagi ayah saudara saya, Dr.Muliyadi Hj.Mahamood memupuk minat ini dalam diri melalui kiriman majalah ketika saya bersekolah rendah. Saya masih ingat Allahyarham Dr.Gunawan mengirim majalah Dewan Pelajar dan Dr.Muliyadi mengirim majalah Kuntum.

Kembalinya arwah pada 27 Ramadan 1431 Hijrah terkandung hikmah, Dia Maha Mengetahui. Namun, saya sebagai manusia biasa, rasa sayu ini sukar pergi begitu sahaja. Arwah antara ayah saudara yang rapat. Dan kami sekeluarga merasai, rasa sayu dan kehilangan itu tetap tebal sewaktu menyambut Syawal.

Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada teman-teman penulis arwah yang hadir memberi penghormatan pada malam dan pagi sewaktu pengkebumian. Ramai yang hadir. Antaranya yang saya ingat pada sebelah malam, Tn.Hj.Shapiai, Cikgu Amiruddin dan Cikgu Ahmad Bahari. Pada sebelah pagi, Dr.Ibrahim Ghafar(Kemudi), teman-teman Persatuan Penulis Johor : Tn.Hj.Rosli, Tn.Hj.Khairy, Cikgu Hamzah dan Cikgu Hamzah.

Kenangan bersama arwah akan menjadi naskhah yang disimpan dan dibaca di dalam perpustakaan memori. Al-Fatihah buat Allahyarham Dr.Gunawan Hj.Mahamood.

- Sdr.Marsli N.O dan Tn.Hj.Shapiai turut menulis di blognya tentang Allahyarham.

Tuesday, August 17, 2010

Harum 7 Ramadan

1
syukur
kepada Pengasih
yang memangkin resa
kesungguhan ini hadir.

2
7 ramadan 1431 H,
mengutus kebahagiaan
daripada lelah fikiran, dan masa
setahun dua yang lalu,
sebenarnya – ia lebih makna
rasa kasih dan sayang kepada
Darul Ta’zim,
tanah tumpah darah.

daripada sejarah tertempa
mengumpul iktibar
di dalam manuskrip
kegemilangan.

3
semoga semuanya lancar
bersama keringat
air mata gembira
menyambut usia.

9 syawal 1431 H
18 September 2010
Persada Johor
dakaplah diri ini
semahumu.


- w.b.rendra,
Johor Bahru.