Tentang Saya

WAHYU BUDIWA RENDRA BIN A.WAHID menggunakan nama pena W.B.Rendra dilahirkan di Hwa Ying Maternity Home, Jalan Ah Fook di pusat bandar Johor Bahru pada 15 Syawal 1399 Hijrah bersamaan 17 September 1978. Dibesarkan di Felda Ulu Tebrau, mendapat pendidikan awal di SRK LKTP Ulu Tebrau (1985-1990), kemudian di SMK LKTP Ulu Tebrau (1991-1995). Memperolehi Bacelor Pentadbiran Perniagaan, UPM (2002-2006).

Karyanya mendapat tempat di akhbar arus perdana negara sejak 2002 setelah mengikuti Bengkel Kelab Penulis Zaharah Nawawi(KEPEZI). Hasil karya cerpennya dihimpunkan di dalam kumpulan cerpen berjudul Mazhab Cinta (DBP, 2008) yang memuatkan 24 buah karya. Manakala novel Di Sebalik Mentari Jingga diterbitkan DBP pada tahun 2007. Karyanya  turut dimuatkan di dalam beberapa antologi seperti Antologi Cerpen KEPEZI Satu (2004) dan Dua (2004), antologi puisi Daksina (2004) dan Pusaka Bangsa (2006) DBP Wilayah Selatan, Manggar-Maggar Kemerdekaan (2007, YWJ Citra), Suara Bukit Timbalan(2007, Persatuan Penulis Johor), Di Tengah Arus(2007,DBP), Dari Suatu Tikungan Lorong(2008, Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd.) dan Bahasa Sungai (2008, YWJ). Pernah menghasilkan skrip drama pendek untuk slot di Klasik Nasional, RTM pada tahun 2007 berjudul Risau. Menjadi tamu ruangan Profil majalah Tunas Cipta terbitan DBP pada Mei 2005 dan menjadi Pembicara Ceritera Bersama Karyawan Sastera (Genre Cerpen, 2006) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.

Meraih Hadiah Puisi Pilihan Sayembara Puisi Johor 2004 (Hadiah Tongkat Warrant). Turut memenangi Hadiah Penghargaan Puisi dalam Sayembara Penulisan Cerpen dan Puisi Kepenggunaan 2006 anjuran Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan GAPENA. Meraih hadiah saguhati kategori cerpen dalam Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP 2006. Menerima Hadiah Khas Juri menerusi skripnya berjudul Dogma dalam Pertandingan Monodrama Negeri Johor 2007 anjuran DBPWS, PPJ, MTNJ dan JKKWJ. Skrip Dogma ini juga telah dipentaskan 4 kali, termasuk pada majlis HSDT di Persada Johor. Turut menerima Hadiah Sastera Darul Ta’zim(HSDT) ke VII kategori Cerpen Eceran anjuran Yayasan Warisan Johor menerusi cerpen berjudul Marshmallow Strawberi dan Tesaurus Cinta. Penerima Hadiah Kategori Cerpen dengan cerpen berjudul Dari Durja Daksina, dan Hadiah Kategori Puisi Sayembara 50 Tahun Merdeka anjuran DBP; hadiah genre puisi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil 2007 menerusi puisinya berjudul Bumi Tersohor : Kerana Kau Tanah Selatan; juga memenangi tempat ke-3 Pertandingan Mengarang Cerpen Jawi bertema kemerdekaan anjuran Perpustakaan Negara Malaysia(PNM).

Kumpulan Cerpen Mazhab Cinta meraih HSDT ke VIII 2009 kategori Kumpulan Cerpen Remaja. Penerima Anugerah Penulis Muda Johor 2007 oleh Persatuan Penulis Johor(PPJ).

Meraih tempat ke-3 Kategori Dewasa Sayembara Menulis Puisi Mengenang Tun Razak 2009 anjuran ASWARA menerusi sajak berjudul Tun Razak : Bapa Pembangunan Negarawan Agung. Dan 2 buah puisi meraih saguhati dalam sayembara yang sama; dimuatkan dalam Antologi Puisi : Tun Razak Dalam Kenangan.

Memenangi tempat ke-3 Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor III 2009 dengan novel berjudul Empayar IX.