Tuesday, July 11, 2006

Sayang, Kita Pernah Berfikir Bersama II

(mengingati Kongres Persuratan Melayu ke III, 1956 di Johor Bahru)


i
Sayang,
pernahkah terfikir
kita duduk bersila
berbicara hormat tapi lara
berpidato cermat tapi dura
lantas kita pantas bergegas ke atas pentas
sama menegur -
tentang bahasa tidak harus diakur
tentang bahasa tiada tolak ansur
kerana bahasa adalah roh bangsa yang jujur.

ii
Sayang,
pernahkah terfikir
kita bergerak perlahan tapi hemah
kita berarak kobar tapi hikmah
mengibar panji-panji natijah
bahawa bahasa lambang bangsa
bahawa bahasa busana budaya
bahawa bahasa benih makmur
kerana bahasa adalah roh bangsa yang jujur.

iii
Sayang,
pernahkah terfikir
kita menyusun aksara akhir
di sisipan buku takdir –
tentang keagungan wacana bahasa
tentang puncak agam menara bahasa
tentang keampuhan kekar sejarah bahasa
tentang keunggulan bahasa bangsa luhur
kerana bahasa adalah roh bangsa yang jujur.


Berita Minggu, 9 julai 2006

2 comments:

chot said...

tersentuh aku baca sajak ni

Puteri Daluwarsa said...

ketika aku ke menara sang pemerintah, bahasa inggeris tertulis di pintu bilik kecilnya.