Tuesday, August 01, 2006

Cerpen : Ketika Kartika Bercinta


i
RINDU, kepada segala yang merindui; ketika kartika bercinta – saya belajar mentafsir segala. Mendongak dan memandang ke langit duga.

Apakala saya sedang duduk memerhati dengan penuh resa takjub kepada langit yang terbentang, kepada bintang saya membilang, diiringi cuaca yang dingin dan cahaya pun menghilang, namun biru pekat menjelang. Mengamati perubahan yang pesat berlaku – ada neon menari - segera saya mencapai beberapa helai kertas melurik kepada apa yang terlintas.
Dengan pantas dan cergas tidak dapat mengekori segala apa yang berbentuk magis itu, kerana keyakinan kepada apa yang turunkan ke dalam isi minda ini adalah kurniaan yang Esa jua. Yang mengirimkan melalui pemikiran. Yang menentukan segala-galanya – yang indah dan yang manis-manis jua. Begini disusun-atur dengan cermat dan hemat sebuah nasihat dan semoga memperoleh berkat dan rahmat:
Dengan segala mauduk yang muluk-muluk, dengan segala rasa yang mulus dan tulus; dengan segala rendah hati dan diri jua – dimulakan kepada apa yang diriwayatkan ini adalah ceritera nyata yang tidak sukar untuk difahami akan maksud dan isinya. Yakinlah ianya, berputar dan berkisar di kalangan dan lingkaran kita jua. Kitalah yang seringkali + semestinya + sepatutnya mendewa-dewakan segala apa yang masih juga menjadi daulat atau martabat atau lambang keperkasaan bangsa jua. Usahlah melupakan + mencandakan + mempersenda-guraukan ia. Begitulah umpama dipesan leluhur, persis diperingat pejuang, ibarat mengalir dalam pembuluh darah nenek moyang.
Dengan melihat kepada mukadimah hidup yang lebih tenteram dan aman, tentulah mahukan ianya berterusan. Dengan menghirup kepada aroma harum pawana persaingan hidup jua, tentulah mahukan kesempurnaan kejayaan itu berjalan tanpa henti. Dengan meniti jambatan perak tanpa memikirkan titik nokthah jua tentulah mahukan kebahagian ini berantaian.
Begitulah dipanjang-panjang suburkan ceritera tentang gelombang garang semakin menghimpit dan menghempap, malah semakin menyesakkan kesempurnaan - yang semakin hilang.

Begitu, apalah mahu diperkira-congakan lagi. Memang segenap segara ada pasang surutnya. Memang segenap belantara ada onak dan mergastua. Memang segenap samudera ada ombak kerasnya. Kenyataan dan kesediaan berhadapan bentuk-bentuk itu jualah yang menjadi rukun ukurannya. Kesediaan itulah yang menjadi benteng kekuatan. Akan tetapi keampuhan bangsa jualah dan pegang agama sepatutnya tidak mengocak dasar akar dan pegang jati diri. Umpama, jika mengalir lumpur berair tidak merosak kuala berpasir. Begitu riwayat dan ceritera bangsa.

ii
RESAH. Bermulanya ceritera ini dalam satu lembaran peta petunjuk sebuah Gagasan Besar, amat jauh daripada perkataan gusar, seringkali dilindungi daripada berlaku tindak tanduk keras dan kasar. Begitu, kepada tujuh gunung berlipat; kepada tujuh ombak bertingkat; kepada tujuh bumantara berpakat; ke langit tujuh jualah ceritera diangkat. Berkat toleransi dan berpegang ampuh pada kepercayaan masing-masing jua maka segala ras dan perbezaan urna kulit tidak menjadi resah atau gelisah; untuk memupuk kejayaan cerlang di puncak gemilang.
Namun, yang menjadi runsing di kalangan cendekiawan, tokoh falsafah, ahli agama dan ahli fikir masing-masing; malahan bercempera seperti tanda soal di pusingan fikiran akal adalah tentang akar dan bentuk letak jiwa berdiri yang suatu masa dahulu begini mulia di kemuncak teragung. Metah, keadaan bertambah susah, hati bertambah marah melihat di mana meletakkan maruah; dicampak-campak, disepak-sepak, dihentak-hentak pada segala yang sepatutnya menjadi sanjung. Pada segala yang sepatutnya menjadi junjung.
Sayang, sedang sinar semakin sering sirnanya; sedang samudera semakin sayup surutnya; sedang silap semakin seronok sengajanya; sedang suara semakin sayu sunyinya; sedang sulit semakin suka selaknya; sedang sopan semakin sepi sisihnya. Sedih. “Amat menyedihkan,” ujar leluhur.
Alangkah. Jika masih hidup leluhur dan bukan pusara tempat bunga ditabur, tetapi di bumi indah yang subur, melihat apa yang mereka cinta dan maksyuk makmur, tentulah berjurai air mata berderai umpama hujan menyambut tengkujuh.
Alangkah. Jika nenek moyang mengatur langkah memerhati si jejaka memakai terompah, tentu akan dimarah dengan raut durja semakin meluap-luap darah. Jika leluhur di sisi atau mungkin kembali ke sebuah Gagasan Besar, melihat cucu cicitnya terkinja dengan agama di sandang manja, dengan pusat terjuir sengaja atau menampakkan celah; tidakkah mereka marah? Tentu mereka marah, bertanyalah leluhur, ”Di mana letak maruah, bunga-bunga mudah menyerah. Di mana letak malu, di khalayak kalian cumbu.” Dan menangis leluhur dengan airmata darah. Sambungnya lesu, “Yang diserahkan bukannya cinta, yang diserahkan adalah raga; yang diturutkan bukannya jiwa, yang diturutkan adalah dukana.” Berjurai-jurai dan hancur berkecai perasaan leluhur. Dan jiwa menjadi pilu – mengenangkan, mengapa harum kuntum mudah layu; tumpas di riba sang celaka perayu?
Alangkah. Jika singgah turun leluhur melihat remaja kasar bertingkah, memakai busana hitam dan merah, mencipta alasan aliran irama bukannya barah; cuma suara wakil maruah. “Hingga hilang petunjuk dan hidayah? Hingga merosak fikir pegang dan akidah? Bukannya barah jika maruah dihanyut bersama hanyir luka dan nanah?” Tanya leluhur. Tegas. Dan keras berbaur kecewa pada tingkat tertinggi.
Dan berkatalah leluhur ditambah dalam gundah, “Tidaklah sanggup aku hidup melihat anak cucuku hanyut kepada arus itu. Cukuplah aku menentang. Kini, kalian ketawa menatang.” Dengan derai perasaan dan jiwa, dengan longlai semangat diurai tidaklah dapat ditahan-tahan. Kecewa leluhur melihat masa depan pohon yang rimbun dengan buah yang ranum lupa pada akar yang menjalar mencari air, begitu diibaratkan. Berat melihat durjanya melukis pahit perasaan. Dengan warna dan garis abstrak sukar dimengertikan.
Sukar untuk diduga pada segala apa yang diperkata, namun melihat kepada raut durja seperti sunyi tidak berkata, tentulah marah orang tua tidaklah tampak ketara. Tidaklah menampakkan suhu kemarahannya. Tidaklah jua mempamerkan api gelegak kepanasan berontak jiwa mereka. Begitu orang tua amatlah sayang kepada anak cucunya, apatah lagi cicit pewaris bangsa. Leluhur meletak tanggungjawab di pundak mereka.
Menitip tinta cinta dengan dakwat kencana, pena dari daksina – sebentar tadi dihulurkannya. Berpesanlah leluhur kepada apa yang sempat dilurik di atas kertas putih. Begini jua leluhur berkata:
“Alangkah indah jika pegang sunah jadi amalan, jika inti mukjizat terakhir dimamah akal dicahaya rahman. Tidaklah dikacau perang penjarah - di bawah tanah gambut, ada api menyelinap senyap. Apakala bahang membakar, hangus segala akar di bawah, mati segala dedaun rimbun dan buah. Tinggallah tanah tumpah tempat penjajah menjarah.” Begitu muluk di atas bahasa, begitu rafik seorang leluhur menabur jasa. Menyaksi diksi penuh maknawi. Mengatur kata penuh pekerti. Saya tunduk, dalam diam menitis butir mutiara dari tiram kelopak mata.
Jika leluhur dengan syahadah mengangkat senjata semangat fisabilillah, sayang menangis air mata darah, kini zaman telah berubah. Kini zaman telah berubah – merompak budi di dalam hati, meragut bahasa di pena berkata. Begitu, leluhur memerhati dan berbicara di dalam hati, “Di batas mana dara dan teruna, memadam sempadan saat berdansa, meletak timur di tapak barat, melupakan segala membawa laknat.” Dan leluhur menarik nafas mengungkap lafaz.
Memahami detik naluri – bagaimana zaman memamah jati diri, umpama anai-anai dalam almari. Bagaimana buruk dipandang baik, bagaimana baik dipandang hambar; begitu buruk menjadi baik, hingga buruk seperti baik. Hingga buruk menjadi khayal. Hingga khayal mendodoi bangsa. Bisik leluhur. Kesal. Kedengaran suaranya semakin sayu, sayup dan syahdu dekat ke telinga kanan saya yang semakin aneh di mata pemerhati. Ia cuma kesan keloid, kirimanNya.
Memang sukar mentafsir letak sejarah, sebuah bangsa pernah memeta bahasa dan agama dengan gagah. Memeta bahasa dan agama dengan gagah, gigih pula membangun negara hingga maju ke seluruh semesta. Alangkah. “Indah sungguh melihat bangsa menjadi daulat sarwajagat manusia, tiadalah kuasa bagi yang lain membawa kacau kepada kita. Begitu negara menjadi ampuh dan kukuh, menjadi kuasa dagang dan rujuk – alangkah indah, semua pernah menjadi sejarah!” Kata leluhur lagi. Dengan nada yang lebih yakin. Dan kuat.
Kata leluhur dari getar yang luhur, “Memanglah, antara sepangsa ada yang rosak, antara setandan ada yang busuk, antara setahun ada yang lolos, antara semua ada yang luka, itu yang pernah dicatat duka – diratapi usah, ditangisi jangan, kerana itulah memang lumrah. Tetapi, janganlah mudah meletak patah melihat bangsa kian parah, ambil tindak dengan hemah kelak bangsa bangkit maruah.” Leluhur terbatuk-batuk, membongkok. Membetulkan busananya yang tampak segak dan bersih.

“Sekarang terletak di atas pundak dan telapak tangan jua; bagaimana jualah pewaris mewarisi.” Saya menggenggam telapak tangan kanannya. Mendakapnya erat dan kejap; tanda terima kasih atas segalanya – nasihat tulusnya.
Justeru dengan segala rasa cinta; dengan segala rasa sayang; dengan segala rasa keagungan bangsa, leluhur menitip pesan di halwa dengar – dilampiri sifat tertib dan sopan tidaklah dapat digambarkan, akan segala rasa yang dilukiskan suci durja leluhur. Begitu niat di hatinya sejauh langit di junjung, begitu nawaitu di jiwanya sesayup segara dilihat mendung, begitu jika diukur seberat dunia tidak mampu digendong, rasa kecintaan leluhur kepada bangsa yang dikandung.
Kemudian dia pergi meninggalkan saya, melihat di telapak tangan kanan sebatang pena dalam genggaman. Sayangnya, tidak sempat saya mengucapkan terima kasih. Namun, saya menjerit jauh di sudut hati terdalam. Sambil mendongak ke langit duga melihat kartika - bercinta dan mengenyit manja.

iii
RINDU, kepada segala yang merindui; ketika kartika bercinta – saya belajar mentafsir segala. Mendongak dan memandang ke langit duga.


Kosa kata
kartika – bintang tujuh
keloid – sejenis penyakit kulit yang membesar kesan jahitan, kemalangan
Berita Minggu, 5 Mac 2006

No comments: