Saturday, December 30, 2006

Cerita Rumah Sunyi dan melalui Jalan Pengorbanan

i
DALAM sebuah rumah sunyi; apa yang menghuni melainkan sepi? Dan dalam kesunyian rumah itu, daun pintunya seringkala menunggu tetamu datang membawa kunci. Supaya daun pintu rumah sunyi diketuk berkali-kali kerana kuncinya telah pula parah patah; agar rumah sunyi dapat dihiasi dengan suara ketawa dan gembira. Benar, jika ada tetamu datang, tentu dapat menjadi pengisi atau penghuni rumah sunyi, biasanya sementara – kadangkala juga mencorak kabur warna kelabu dan hitam atau merah dengan kecewa dan duga.

Begitulah – dalam sebuah rumah sunyi yang hampir bersawang bimbang kerana kesunyian itu, adalah jeda atau mungkin ‘kesementaraan’ yang telah dititip kemas dalam buku takdir tentang sebuah rumah sunyi.

ii
DAN dalam buku takdir jua, diutus pawana dan air terus menerus ke bumi daksina yang tercinta. Saat renyai, tika gerimis, atau kala resah mendesahnya turun – tetap jua membasahi tanah ini. Begitu, di luar jangka dan duga, diutus duka dan dura. Bertenanglah bumi daksina, bersabarlah rakan-rakan yang diuji dengan ujian ini. Tentu kalian sedang meniti di atas Jalan Pengorbanan. Kerana buku takdir telah tertulis segala.


Salam Aidiladha.

6 comments:

Anonymous said...

As'kum Rendra, mungkin sunyi kadang-kala mengajar kita erti menghargai apa yang dipegang. Sunyi juga mampu menginsafkan diri sang insan yang mungkin pernah alpa dan leka dengan dugaan Tuhan.Mungkin juga sunyi mampu menjadi peringatan kepada mereka yang lupa jalan pulang. Namun, jalan pengorbanan merupakan pilihan terakhir yang akan menjadi takdir. Yang pasti, tidak ada yang terkecuali. Semuanya perlu pergi ke jalan itu, sama ada terawal atau di barisan paling akhir. Selemah-lemah iman di sebut dalam hati.... al-Misri

mohamad kholid said...

Rendra...
Sedang dalam keriuhan juga hati terasa begitu sunyi dan terasing - apakah itu juga tertulis dalam buku takdir?

Anonymous said...

Rendra,
Sunyi itu letaknya dihati..bukan pada kamar sepi atau ruang tiada berpenghuni.. Dan kerana itu hati perlu diisi.. Apa, awak sudah mula rasa mual dengan jalan yang dipilih? Awak kan kuat!! Apalah yang ada pada sunyi dan sepi...

Nyl

Anonymous said...

Apa lagi Ren, panggillah kumpulan gendang abg main di rumah sunyi itu, bagi ceria sedikit.... Lalalala : )

Fahd Razy said...

Salam...lama tak jumpa. Salam AidilAdha dan Tahun Baru (Hijrah)

Wahyu Budiwa Rendra said...

terima kasih sdr & teman-teman yang memberi komen dan pendapat.

sdr.al-misri - terima kasih sdr. sunyi barangkali menguji atau menguja untuk insan merenung kembali dalam diri.

kanda kholid - ya, seringkala. meski dalam keriuhan - sunyi masih menjajah.

sdr. nyl - terima kasih. ya. sebab itu ada yang berkata, berlarilah ke fujiyama untuk meninggalkan sunyi atau ke sesak riuh manusia dan kerja, atau usah berfikir tentang sunyi. tapi, mungkinkah?

sdr. sf - ya tak ya juga. wah, tentu lebih bermakna!

sdr. fahd razy - salam kembali. bagaimana pengajian di sana? mohon tolong rawatkan keloid saya, dr.fahd.