Wednesday, May 30, 2007

Kepada Pejuang Bangsa, Seusai Lima Dasawarsa

[mengenang kelahiran sebuah negara bangsa, 11 Mei 1946]

a)
pernah suatu ketika
tertulis cerita derita
sebelum lima dasawarsa
diangkat sebuah negara bangsa
leluhur berjuang dan berduka
antara darah dan titisan airmata –
mencatur masa-masa hadapan
mengatur hari-hari harapan
demi kebebasan anak watan.

daksina, bumi tersohor
telah lahir zuriat negara bangsa makmur
di atas peterana maruah
diukir lembar sejarah –
lantang suara menentang penjajah
pantang negara datang dijarah.

b)
pewaris bangsa, segeralah
bina kubu kukuh jatidiri
sisih sikap sia-sia berduri
lempar lumpur leka kotor
semat semangat juang jujur –
kerana kini, seringkali
seteru bukan berbentuk peluru
imperialis bukan berwajah penjajah
pemikiran selalu dicorak indah
dalam diam, keliru atau celaru
alis matamu dicelak-bedak hibur melulu.

c)
aduhai,
moga cerita derita jadi sejarah
usah diulang garap resah
manuskrip bangsa dengan tinta merah.

-- w.b.rendra
(Berita Minggu, 20 Mei 2007)

No comments: