Wednesday, April 15, 2009

170 tahun dahulu, berulang

Kagum dan hormat dengan pendirian Kerajaan Negeri Johor; saya terkenangkan ucapan YAB Dato' Haji Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor pada Perasmian Penyampaian HSDT 2007 setahun lebih yang lepas(ketika itu saya hadir untuk genre cerpen eceran). Inilah juga kerisauan dan kebimbangan kami sebagai anak bangsa yang cintakan bahasa bangsanya - menghargai jalur juang leluhur. Saya petik sebahagian penting inti ucapan. Betapa sejarah itu berulang. Sejarah seharusnya menjadi cerminan bangsa untuk berdiri dan bertanya tentang jatidiri dan, sepatutnya mengerti kita sebenarnya siapa? ;

"...Namun, menjelang sambutan Jubli Emas kemerdekaan ini, di saat kita berbangga bebas dari penjajahan sempadan, memiliki kedaulatan tanah air, berjiwa merdeka, kita membuka ruang kepada penjajahan halus bahasa dan budaya asing. Lalu kita adunkan bahasa dan budaya asing ini dalam acuan kita, sedangkan kita mahu membentuk acuan sendiri.

Inilah kemelut dalam jiwa kita yang sejak dulu lagi sentiasa menjadi isu di kalangan orang Melayu. Seawal pada pertengahan abad ke-19 sekitar tahun 1840-an, Abdullah Abdul Kadir Munsyi dalam bukunya Hikayat Abdullah telah mengkritik orang Melayu.

“…tinggal dalam bodohnya, oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri, dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya itu…bukankah segala bangsa-bangsa yang lain dalam dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya, melainkan orang Melayu?...”

Abdullah Munsyi pengarang terkenal yang hidup kira-kira 170 tahun yang lalu telah menyedarkan orang Melayu supaya memajukan bahasa Melayu, menggunakan dengan betul, melalui pembacaan, dan penulisan agar bahasa Melayu berkembang luas sebagai asas kepada tamadun bangsa.

Sikap orang Melayu yang suka meremehkan bahasanya sendiri juga terungkap dalam Kisah Pelayaran Muhammad Ibrahim Munsyi (1872) ketika melawat bandar Kelang yang ketika itu ditadbir oleh Tengku Kudin, menantu Sultan Abdul Samad, Selangor, apabila beliau menyindir.

“...adapun adat-adat yang diperintahkan oleh Tengku Khiauddin dan nama-nama jalan dalam itu mengikut Inggeris belaka tetapi berlebih kurang sahaja. Maka nama-nama jalan itu dibubuhnya seperti: King Street, Beach Street, Market Street, Warf Street, China Street…maka aku bertanya pula dan berkata: sayang sekali apa sebab Kelang ini negeri Melayu dinamakan jalan dan pekerjanya semua mengikut nama Inggeris, jika dibubuh nama cara Melayu alangkah bagusnya…”

Zaman yang dilalui oleh Muhammad Ibrahim Munsyi seorang intelektual dan pengarang Melayu Johor yang hidup pada zaman Mahajara Abu Bakar kira-kira 160 tahun yang lalu kini terjelma kembali.

Ramai yang mahu berkata marilah kita martabatkan bahasa Melayu, sesuai kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Mereka menyeru agar bahasa Melayu tidak dipinggirkan. Namun dalam hakikat seharian, penghormatan kepada Bahasa Melayu dalam pendidikan, pelbagai majlis dan urusan rasmi, mulai terhakis. Semuanya berlaku atas nama pemodenan, globalisasi, daya saing antarabangsa dan apa sahaja istilah serta konsep yang kononnya tidak konservatif." ...





Ucapan penuh ini juga dimuatkan di dalam buku

Antologi Himpunan Karya Pemenang HSDT Keenam.

No comments: