Monday, July 06, 2009

Dokumentasi : Sebuah Mazhab Cinta

Seharusnya blog ini bercerita lebih rinci dan awal tentang kumpulan cerpen Mazhab Cinta(MC). Setelah menulis selama hampir satu windu; satu jangkamasa yang begitu pantas berlalu, saya mengumpulkan kesemua cerpen eceran menjadi sebuah kumpulan cerpen.

Penghargaan seharusnya saya berikan istimewa kepada guru penulisan cerpen saya, Sdr. Zaharah Nawawi (KEPEZI). Juga kepada Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, khususnya Pn.Azura Halid (editor, sehingga terbitnya MC ini) dan En.Rusdi Abd. Rahman.

MC, jika boleh saya bahagikan kepada dua bahagian utama iaitu : pelangi dan purnama. Pelangi bersifat tujuh warna, iaitu berlapis-lapis. Manakala purnama, dapat dilihat cahayanya secara terus pada waktu malam. Dua bahagian ini hanya bahagian yang membezakan dua sifat iaitu berlapis(pelangi) dan terus(purnama). Itu pun jika signifikan dan boleh dikatakan sebagai dua bahagian itu.

Sebanyak 24 buah cerpen di dalam naskhah ini yang kesemuanya pernah disiarkan di akhbar dan majalah. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada media cetak terutamanya editor sastera Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Utusan Zaman, Jendela Selatan, Tunas Cipta, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, URTV dan beberapa yang lain; memenangi sayembara anjuran DBP.

Mungkin apabila dipisahkan kepada dua kumpulan, akan lebih mudah untuk mengesani cerpen-cerpen di dalam MC ini. Dan saya percaya, pembaca akan dapat menilai maksud Purnama dan Pelangi tersebut.

Di dalam kelompok Purnama, saya senaraikan :

  1. Gadis dan Lagu Cinta
  2. Saat Kutitip E-Mel Resah
  3. Nota Panjang Di Jeriji Besi
  4. Mazhab Cinta
  5. Sulitnya Shiuji
  6. Windu, Ini Elegi Bermonolog Daripadaku
  7. Sidang Sarwajagat
  8. Anak Pasca Merdeka
  9. Ritma Ramadan yang Indah
  10. Marshmallow Strawberi dan Tesaurus Cinta
  11. Titip Tinta Versi Strawberi
  12. Sejambak Lavender dan Stanza Cinta

Manakala di dalam kumpulan Pelangi :
1. “Tenggelamkah Bumi Cikura?”
2. Tentang Teori
3. Bicara Anjak
4. Diutus Pawana Ke Sana
5. Ketika Kartika Bercinta
6. Bukan Stanza Cinta
7. Cengeng Bumi Cikura
8. Seusai Lima Dasawarsa
9. Dari Durja Daksina
10. [L]agenda Setelah Setengah Windu
11. Antara Lingkaran Rona
12. Ketika Kirmizi Senja Bermanja

Meskipun pada halaman dua, sebelah atas diletakkan ‘Kumpulan Cerpen Cinta’, maka tentunya cinta itu tidak terkongkong oleh sifat cinta yang tunggal sahaja. Semestinya MC disubjektifkan oleh maksud cinta yang pelbagai. Seperti yang ditulis di kulit muka surat belakang – blurb.

Sekadar dokumentasi dan motivasi peribadi, beberapa karya di dalam MC mempunyai kenangan manis dan pencapaian tersendiri. Cuba untuk disenaraikan, antaranya:

1. “Tenggelamkah Bumi Cikura?” - Finalis 20 buah cerpen HSKU 2003
2. Mazhab Cinta – Finalis 20 buah cerpen remaja HSKU 2003
3. Marshmallow Strawberi dan Tesaurus Cinta –Finalis 20 cerpen remaja HSKU 2006, dan Hadiah Kategori Cerpen Eceran HSDT VI 2007
4. Titip Tinta Versi Strawberi - Memenangi Sayembara Mengarang Jubli Emas DBP 2007
5. Sejambak Lavender dan Stanza Cinta – Finalis 20 cerpen remaja HSKU 2007
6. Seusai Lima Dasawarsa – Finalis 20 cerpen remaja HSKU 2007
7. Dari Durja Daksina - Memenangi Sayembara Mengarang 50 Tahun Merdeka DBP.
8. [L]agenda Setelah Setengah Windu – Finallis 20 cerpen HSKU 2008

Kepada pembeli dan pembaca MC, saya mengucapkan berbanyak terima kasih, serta sangat berharap saudara memperolehi sesuatu yang positif daripada karya ini, menyingkirkan yang tidak baik yang di luar sengaja – kelemahan saya sebagai seorang manusia biasa. Benar, saya masih perlu banyak membaca, belajar, mengikuti bengkel-bengkel penulisan dan berbincang dengan teman-teman penulis yang lain untuk memperbaiki dan meningkatkan lagi kualiti penulisan ini. Di dalam perkara ini, saya bersyukur kerana DBP, KEPEZI, Persatuan Penulis Johor(PPJ) dan Yayasan Warisan Johor sering memberi sokongan, bimbingan dan motivasi kepada penulis melalui bengkel yang dianjurkan dan penghargaan khas yang diberikan.

5 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Sdra. Wahyu,
1. Saya hanya pendorong dan pelorong untuk ramai insan berkarya demi tanggungjawab kerja hakiki serta minat, cinta dan sayang dalam bidang kreatif ini.
2. Nantikan kemunculan MC dalam HSDT...?
3. Nantikan kemunculan bicara tentang MC yang akan diadakan sedikit masa lagi. Insyaallah.
4. Teruskan berkarya; secara peribadi saya bangga melihat karya anda tersiar apatah lagi meraih sesuatu hadiah @ penganugerahan.

typeace said...

Sdra Wahyu,

Kita berbangga memiliki penulis Johor yang sentiasa bergerak maju ke hadapan di arena antarabangsa.

HSDT-7 kali ini, Tuan 'gondol' berapa banyak?

zura halid said...

Rendra,
"Aku bukan siapa-siapa...aku sekadar sebatang kara...mengurus amanah tuan dgn bijaksana...selagi ada kudrat,selagi itu aku setia..."

Melihat Kesunyataan said...

Wahyu yang sentiasa sabar,
Nampaknya panjang pengisian kali ini. Mazhab Cinta memang menarik untuk diperkatakan. Dengan gaya bahasa yang indah dan mesej yang menarik.
Tunggu majlis memperkatakan buku anjuran DBPWS...

Wahyu Budiwa Rendra said...

En.Rusdi - terima kasih kerana memandu menuju lorong.

Sdr.Syafiq - saya hanya menulis dan mencatat. moga kita terus berkarya.

Kak Zura - terima kasih. jika tiada editor, MC mungkin ke sasar tarikh terbitnya.

Tn.Hj. - Ya, Tn.Hj. saya tunggu programnya.