Tuesday, November 03, 2009

Proses Kreatif : Menghantar Pelangi Pulang

Menulis Menghantar Pelangi Pulang mengingatkan semula saya kepada sebuah drama yang menjadi inspirasi – jika tidak silap judulnya ‘Seratus Hari Jadi’. Drama ini membuatkan saya berfikir bahawa kehidupan seharian seakan mengulangi saban hari yang serupa. Ke tempat kerja, melalui jalan yang sama, melihat suasana yang sama; bangunan, pokok-pokok, lampu isyarat, simpang, kawasan perumahan. Menemui kenderaan-kenderaan yang kadangkala pernah terserempak dan bersilih, semalam atau kelmarin. Esok, Dengan Izin Allah jua, mengulangi perkara yang serupa.

Dalam Seratus Hari Jadi, watak dapat memperbaiki keadaan yang dilalui serupa selama sehingga seratus hari itu. Watak utama yang mulanya, angkuh dan berlagak merubah sikap kepada positif; bertolak ansur dan sedia menerima situasi. Dia dapat membaca kemungkinan-kemungkinan, sebab dan punca kesilapan dan meski kadangkala tidak mahu – tetapi dia harus tempuhi. Dari sini, saya mula terfikir – kadangkala – dan selalunya kita mengulangi perkara yang sama. Kerja, pulang, berehat. Kerja, pulang, berehat. Lalu saya cuba menerapkan unsur pengulangan yang ketara di dalam Menghantar Pelangi Pulang. Pelangi menyorot pula kepada dua orang arwah atuk saya, yang saya sifatkan seorang tokoh. Lalu dalam mendepani hari, yang kadang berbalam, di antara ruang itu saya harus mengakui pengulangan – Menghantar Pelangi Pulang; sungguh, pada ketika-ketika tertentu belum cukup ampuh dan bersedia untuk mendepani situasi - saya hanya sebentar di sini.
(Terima kasih kepada Ustaz Azman, Ibnu Ahmad Al-Kurauwi yang menulis Saat Kau Hantar Pelangi Pulang di blognya.)

8 comments:

Md Nizar Parman said...

Salam Ren,
Sememangnya begitulah keadaan kita. Kadang-kadang kita mengulangi pekerjaan yang sama, melalui situasi yang sama, berpapasan dengan orang yang sama; hari-hari, minggu-minggu, bulan-bulan, tahun-tahun dan seterusnya. Yang perlu kita fikir dan renungkan, apakah yang kita dapat dan apakah yang telah kita lakukan agar sesuatu yang sama itu akan menjadi sesuatu yang sangat bermakna dalam hidup kita. Saya teringat akan kata-kata seseorang, "pertemuan sedetik itu lebih bermakna jika kita melakukan sesuatu yang meninggalkan kesan berbanding pertemuan yang panjang tetapi membosankan!"

Rusdi Abd Rahman said...

Sdra. Wahyu,
Saya sempat menonton drama 'Seratus Hari Jadi' itu melalui rangkaian (jika tak silap) Astro 104 sebulan dua yang lalu. Cerita menarik tentang perkara luar biasa yang lari daripada kebiasaan hidup pelakon itu, jika tak silap kisah seorang wanita rasa-rasanya... Jika silap tolong betulkan saya ya...

Lumut Pagi said...

Salam mas..

salam ziarah.
lama sudah rasanya tidak menyinggah. apa kabar mas agaknya.

semoga semuanya baik2 saja di bawah lindungan dan payungan-NYA.

amin..

:)

Wahyu Budiwa Rendra said...

sdr nizar, benar itu. dan dari sedetik itu kadangkala, kita lebih mahu tahu lebih daripadanya; mengutip pengalaman dan ilmunya. mencipta sesuatu yang lebih bermakna. insya-Allah.

Wahyu Budiwa Rendra said...

en.rusdi. ya, tentang seorang wanita. ceritanya diselitkan juga unsur lucu dan debar.

Wahyu Budiwa Rendra said...

sdr.LP. alhamdulilah, saya sihat. terima kasih atas doa. kembali; untuk sdr jua, doa dititipkan. tentu banyak tugasan yang mesti diselesaikan.

wardah munirah said...

Assalamualaikum,
Terima kasih atas perkongsian kisah ini. Semoga terus maju.

Wahyu Budiwa Rendra said...

sdr.wardah. sekadar berkongsi proses kreatif. lain menulis, lain pena dan kertasnya(?).he.he.