Friday, February 12, 2010

Berapa nilai yang perlu dibayar untuk belajar sesuatu?

Salam pengunjung blog yang dirahmati.

Wah, panjang tajuk entri kali ini! Sudah jadi macam tajuk sajak-sajak saya pula; ‘Dari Ranjang Cinta ke Kamar Neraka’, ‘Teja, Seusai Renyai Senja’ dan ‘Antara Seratus Anggerik dan Seratus Puisi’. Sebahagian judul-judul sajak saya yang panjang.

Benar, berapa nilai Ringgit Malaysia(RM) yang harus dibayar untuk kita mengetahui dan mempelajari sesuatu? Kadangkala, kita langsung tidak menyangka nilai RM yang harus kita keluarkan untuk mempelajari dan mengenal sesuatu. Kelmarin saya membeli sebuah buku berharga RM21 untuk saya mempelajari sesuatu melalui pengalaman penulis buku itu. (Sudah masuk bab 6 saya baca, rasanya semasa tidur pun mahu baca!) Itu baharu nilai RM. Belum lagi nilai pengalaman; seperti kecewa, duka, kegagalan, kemalangan, penyakit, kematian, kejayaan, kemenangan. Dan sebenarnya berapa nilai yang harus kita bayar untuk belajar itu terlalu subjektif mengikut jalur perjalan hidup seseorang. Sekiranya belajar di dalam kelas pengajian atau apa-apa pun kelas, tentu dikenakan yuran sebagai bayaran. Kita belajar melalui pengalaman dan alam yang kadangkala harus juga dibayar.

Kenapa saya ni? Ah, sebenarnya begini. Ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, saya tidak pernah tahu jalan susur yang saya lalui itu tidak boleh dilalui begitu. Jalan susur memasuki bangunan Celcom dari arah Kempas yang setiap bulan saya lalui itu untuk membayar bil tidak boleh dilalui begitu, sehinggalah pagi tadi saya harus membayarnya dengan nilai sehelai kertas setelah diminta parkir ke tepi. Begitu ‘eksklusifnya’ saya untuk mempelajari sesuatu dengan membayarnya setelah menerima sehelai kertas yang kemudian saya tandatangani demi untuk mempelajari sesuatu itu. Sekiranya saya melalui jalan itu semalam, atau hari Rabu tentu saya tidak mempelajari sesuatu. Saya mengambil sikap dan kesimpulan ini, setelah membaca satu tajuk di dalam buku yang dibeli kelmarin.
Siapa di kalangan pengunjung blog yang pernah menerima slip eksklusif ini untuk mempelajari sesuatu, boleh berkongsi?

6 comments:

Melihat Kesunyataan said...

Ren,
Kalau diterjamahkan dalam bentuk sajak atau cerpen, tentu nilainya lebih mahal.

Wahyu Budiwa Rendra said...

tn.hj. jika diterjemahkan dalam bentuk cerpen atau sajak; peristiwa/pengalaman yang 'terpaksa' dibayar tadi, bakal memberi pulangan kepada diri dan sumbangan pula kepada yang membaca. wah, benar kata tn.hj!

Rusdi Abd Rahman said...

Sdra. Wahyu,
Begitulah ujian yang perlu dihadapi oleh seseorang insan yang dapat meningkatkan lagi pengalaman - ilmu - persepsi - kematangan. Itulah cabaran yang boleh membuatkan diri Sdra. Wahyu semakin kreatif ideanya serta bertambah maju dalam pelbagai bidang kehidupan. Insya-Allah.

Md Nizar Parman said...

Salam Dinda Wahyu,
Saya sebenarnya sudah beberapa kali menerima kertas "eksklusif" itu. Ada yang saya terima di tangan, ada juga yang melalui posmen yang baik hati. Apa nak buat. Tetapi sejak dua tahun belakangan ini, saya tidak menerima kertas itu lagi. Saya menjadi lebih berhati-hati. Bukan sedikit duit yang diperlukan untuk membayarnya. Alahai....

Wahyu Budiwa Rendra said...

En.Rusdi yang dihormati. terima kasih. Insya-Allah, mudah-mudahan kata-kata en.rusdi menjadi doa. kadangkala, saya tidak perasan di sebalik sesuatu. setelah berfikir, baru dapat tahu jawapannya.

Wahyu Budiwa Rendra said...

salam kanda Nizar. sungguh baik hati posmen yang menjalankan tugas.he.he. kertas eksklusif itu menjadikan kita lebih berwaspada. dan beringat berapa nilai yang harus dibayar.