Tuesday, March 02, 2010

Mengenang Negarawan melalui Puisi

01 Mac, 2010 14:50 PM

Pensyarah UPM Menang Sayembara Menulis Puisi Mengenang Tun Abdul Razak

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Pensyarah Jabatan Bahasa dan Kemanusiaan Fakulti Pendidikan, Universiti Putra Malaysia, Shamsudin Othman memenangi wang tunai RM1,500 apabila puisinya "Lelaki Mawar Di Puncak Tamadun" menjuarai kategori dewasa Sayembara Menulis Puisi Mengenang Tun Abdul Razak 2009 anjuran Fakulti Penulisan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Shamsudin, anak kelahiran Tangkak, Johor, yang merupakan penyair puisi moden negara, menewaskan Ahmad Hashim bagi puisinya "Kerinduan Ini" yang mendapat tempat kedua, manakala karya Wahyu Budiwa Rendra Abd Wahid bertajuk "Tun Razak: Bapa Pembangunan Karyawan Agung" memenangi tempat ketiga.

Dekan Fakulti Penulisan Aswara Datuk Dr Anwar Ridhwan dalam satu kenyataan di sini berkata pertandingan sayembara itu mendapat sambutan penulis pelbagai kaum dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Ini menunjukkan penyair mewakili rakyat Malaysia sentiasa menyanjung dan mengenang negarawan seperti Perdana Menteri Malaysia ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak," kata Anwar.

Sementara itu bagi kategori IPTA/IPTS, Zulfazlan Jumrah memenangi tempat pertama dan ketiga bagi kedua-kedua karyanya "Nakhoda Bangsa II" dan "Sebutir Permata Di Taman Nusantara", diikuti karya Siti Rabiatul Adawiyah Abdul Hadi, "Madukara Di pohon Persada" memenangi tempat kedua.

Juara bagi kategori sekolah menengah pula adalah Aimi Nur Syahirah Mohd Aimi Zaimi bagi puisi "Tun Abdul Razak: Legasi Patriot Bangsa", manakala tempat kedua dimenangi oleh Azea Atirah Mohd Don bagi karya "Jasamu akan Kukenang" dan Ella Syameen Abu Shuja menang tempat ketiga bagi puisi "Pahlawanku".

Lima karya daripada setiap kategori juga akan menerima hadiah saguhati dan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang akan dilangsungkan di kampus Aswara tidak lama lagi.


-- BERNAMA

6 comments:

zabad said...

tahniah...
abang rendra...

Anonymous said...

Wah. Tahniah ya bang. Tidak tahu menahu pula saya akan kehadiran sayembara itu dahulu. Jika tidak, pasti saya akan masuk sama. Huhu. Walauapapun, tahniah sekali lagi ya untuk abang!!!


-A. Muziru Idham-

Rusdi Abd Rahman said...

Sdra. Wahyu,
Tahniah atas`kejayaan ini.

Wahyu Budiwa Rendra said...

sdr.zabad - terima kasih. terima kasih berkunjung.

sdr.muziru - sayembara ini sudah lama. tahun lepas. terima kasih.

en.rusdi - terima kasih.

benuasuluk said...

Sdr. Rendra,
tahniah daripada saya. Moga terus sukses hendaknya.

Wahyu Budiwa Rendra said...

Sdr. RH,
terima kasih. saya masih ingat sewaktu menghantar karya tempohari. :)