Friday, April 16, 2010

Petua daripada Editor Sastera BH dan DS

Berikut saya turunkan isi-isi penting yang merupakan petua daripada editor sastera bagi majalah Dewan Sastera dan Berita Harian. Saya petik daripada Berita Harian online sebagai panduan bersama. Laporan penuh ditulis oleh Sdr.Nazmi Yaakub, dan boleh dibaca di sana.

***
KESUKARAN mendapatkan cerpen dan puisi bermutu dengan larik bahasa indah baik daripada pendatang baru, penulis muda mahupun veteran bukan saja dihadapi akhbar, tetapi juga majalah yang mempunyai halaman kreatif dibangkitkan pada Sesi Bersama Editor pada Dialog Penulis Muda.

1. Editor Sastera Berita Harian, Salbiah Ani, menekankan peluang dan ruang penyiaran karya di halaman Kreatif Sabtu dan Sanggar Kreatif Ahad adalah sama baik kepada pengarang mapan dan baru selagi mutu karya dijaga.

2. “Peluang adalah sama kerana kayu ukur penyiaran adalah mutu karya tanpa mengira sama ada pengarang itu veteran atau muda, pernah memenangi pelbagai hadiah sastera atau pendatang baru dalam dunia penulisan tanah air.

“Saya berharap penulis dapat bersabar untuk melihat karya disiarkan dan tidak boleh mengharapkan penyiaran pada kadar segera kerana terlalu ramai pengkarya menghantar nukilan masing-masing selain masa standard penyiaran untuk akhbar dan majalah ialah enam bulan.

3. “Jika penulis berasa karya itu wajar disiarkan secepat mungkin, mereka boleh menghantar e-mel untuk menarik balik. Kami bersikap profesional dalam hal ini memandangkan ruang yang ada memang terbatas, tetapi jumlah yang menghantar karya terlalu ramai,” katanya pada sesi yang turut dihadiri Penasihat Program yang juga Pensyarah Upsi, Arif Mohamad.

4. Ketika menjawab pertanyaan tema karya yang menjadi pilihan, Salbiah menjelaskan Kreatif Sabtu dan Sanggar Sastera mencadangkan penulis agar menampilkan karya yang berlegar kepada isu semasa, tetapi perlu diadun dengan baik agar tampak menarik untuk dibaca.

“Tema sedemikian menjadi keutamaan bagi membuktikan bahawa pengarang kreatif hidup di alam realiti dan bukan di awang-awangan seperti yang sering dilabelkan masyarakat sejak sekian lama, selain tema agama boleh diketengahkan, tetapi bukan dalam gaya khutbah.


5. Beliau turut mengingatkan penulis baru untuk tidak terlalu gopoh melihat karya mereka tersiar di media sehingga mengambil tindakan melanggar etika penulisan dengan melakukan pencerobohan karya sehingga ada yang sanggup memplagiat karya pengarang lain.

6. “Penulis yang ‘tertangkap’ menciplak karya pengarang lain, pintu media akan tertutup rapat. Penulis juga jangan sesekali mengugut editor kerana hakikatnya mereka menjalankan tugas secara profesional. Jangan sesekali melobi agar karya disiarkan kerana silap hari bulan perkara sebaliknya berlaku,” katanya.

Salbiah turut berkongsi pengalamannya apabila ada penulis yang mengadu dengan pihak atasan kerana karya tidak disiarkan dan pengalaman sama turut dilontarkan Editor Kanan Unit Sastera, Bahagian Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Rozninah Abd Azib.

“Penulis terbabit menghantar surat kepada Pengarah Penerbitan menyebabkan saya dipanggil ke bilik ketua dan apabila beliau melihat sendiri sejumlah karya penulis terbabit, penolakan saya dipersetujui.

7. “Moral daripada pengalaman ini adalah seandainya sesebuah karya itu bagus, pihak kami akan menerbitkannya tanpa perlu menunggu penulis terbabit menghantar surat aduan atau mengambil langkah mengugut,” katanya yang juga Editor Dewan Sastera.

8. Rozninah turut mengingatkan penulis baru untuk menjaga ketertiban dalam surat penyerahan karya dan tidak menggunakan ayat berbentuk ugutan kepada editor untuk melihat karya mereka mendapat tempatan dalam majalah dan akhbar.

“Ada penulis muda yang menghantar karya dengan menyelitkan amaran bahawa sekiranya karya tidak diterbitkan dalam tiga bulan, ia akan dihantar ke penerbitan lain dan kami tidak kisah sekiranya penulis mahu berbuat demikian,” katanya.

9. Beliau turut mendedahkan masalah yang selalu dicetuskan oleh penulis muda, iaitu mabuk dengan bahasa puitis sehingga apabila menghasilkan karya yang sepatutnya puitis, tetapi menampilkan perlambangan yang tersasar.

Sajak yang baik mestilah yang boleh difahami, ada kekuatan tersendiri dan falsafah. Dalam konteks karya kreatif berunsurkan agama pula, jangan menggunakan terlalu banyak istilah bahasa Arab sehingga editor terpaksa membuka kamus setiap perkataan dan pembaca juga tidak memahaminya,” jelasnya.

10. Seperti Salbiah, Rozninah juga berharap mereka yang berhasrat menghantar karya agar membeli majalah atau akhbar sasaran mereka bagi mendapatkan gambaran karya pilihan editor dan mematuhi segala syarat penerbit selain tidak sesekali menghantar karya yang sama ke penerbitan berlainan.

***

JIka dibaca dengan teliti, sebenarnya terdapat lebih 10 petua yang diberikan oleh kedua-dua editor sastera seperti di atas. Semoga kita dapat mengambil manfaat yang diberikan.

17 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Sdra. Wahyu,
1. Bagus maklumat ini buat bacaan dan panduan semua.
2. Jika ada kelapangan masa silalah hadir ke program kecil-kecilan di DBPWS pada 17/4/10 pukul 3 petang ya.
Terima kasih.

fadz said...

pedoman yg bagus!

Wahyu Budiwa Rendra said...

salam en.rusdi.
1. maklumat yang boleh dikongsi & dimanfaatkan.
2. ya,en.rusdi - telah saya hadir, dan turut menjaga kaunter pendaftaran.he.he

Wahyu Budiwa Rendra said...

salam sdr.fadz.
terima kasih menitip jejak.
petua no.10, selalu diambil ringan. tidak mahu beli akhbar/majalah.

Melihat Kesunyataan said...

Petua ke-11, 'Sekali menulis terus menulis!'

Wahyu Budiwa Rendra said...

betul tu, tn.hj.

Azhar Salleh said...

Salam DINDA WAHYU,
Petua ke-12, "Belajar, tambah ilmu, cungkil rahsia dan petua".

Azura said...

'Akakkkk pun nak menulis....!!! :)

Wahyu Budiwa Rendra said...

salam kanda azhar. boleh saja kanda tambah. tambahan petua akan menguatkan lagi kesungguhan. yang dititip ini petua daripada editor.

Wahyu Budiwa Rendra said...

kak zura perlu menulis; editorkan telah banyak membaca.

Hasmora said...

assalamualaikum tuan,

sihat?lama tak komen sini.. terima kasih atas perkongsian yang amat bermakna ini..

kota belud, sabah.

Wahyu Budiwa Rendra said...

waalaikum salam sdr.hasmora.
didoakan semoga sdr jua sihat hendaknya. insya-Allah, agar dapat kita kongsi bersama.

wardah munirah said...

Assalammualaikum,

Terima kasih dan penghargaan atas penyiaran dan perkongsian panduan ini.

hanis aleeya said...

Alhamdulillah karya kedua saya sudah disiarkan dan cek honorarium sudah diperoleh. Menunggu cek untuk karya pertama.

Panduan yang berguna. Terima kasih kerana menyiarkannya.

Wahyu Budiwa Rendra said...

salam sdr.hanis. terima kasih singgah di sini & menitip jejak. tahniah! teruslah tekal menulis dan berkarya ;)

~Mardihah Adam~ said...

salam tuan Wahyau Budiwa Rendra,

Izinkan saya untuk membuat copy makluman di atas ke dalam blog saya. Jika dizinkan, saya sertakan bulat-bulat semua di dalam ini untuk tujuan bacaan pengunjung blog saya. terima kasih tuan dan selamat berkarya.

Wahyu Budiwa Rendra said...

salam sdr.mardihah.
ya, boleh saja. moga kita dan teman-teman pengunjung blog beroleh panduan. terima kasih kembali - berziarah dan menitip jejak.