Monday, July 05, 2010

Khuatir

Malam tadi kira-kira pukul 2.45pagi, saya dikejutkan dengan jeritan adik yang belum tidur. “Perompak! “Perompak! Perompak” Berderau, dan menyerap seluruh darah. Ya Allah, selamatkan kami. Saya tidak terus meluru keluar bilik. Sebaliknya mendengar kekecohan yang berlaku. Saya bimbang jika perompak sudah masuk dalam rumah dan mengugut. Saya dengar suara ayah, dan adik lelaki yang lain ada sama. Cuba bertenang. Saya keluar dari bilik. Adik menceritakan detik-detik dia melihat pintu dapur cuba diumpil dengan kasar dan hampir terbuka. Maha Suci Allah, sungguh saya bimbang dengan situasi ini.

Sebelum ini, beberapa minggu lepas memang ada rompakan berlaku. Tuan rumah ditetak. Malah, ada keluar di Berita TV3, tentang rompakan berparang yang berlaku di Felda Ulu Tebrau. Mangsa (seorang cikgu) menceritakan detik cemas yang berlaku kepada wartawan, dan meminta pihak berkuasa buat pemantauan. Saya teringatkan pak cik saya yang turut menjadi mangsa rompakan berparang di rumahnya di Selangor. Saya teringatkan kata-kata Tn.Hj.Shapiai, ‘zaman sekarang, kita duduk dalam rumah pun sudah tidak selamat’. Saya bimbang.

Di sini, KRT ada, RELA ada, Polis pun ada. Ada juga buat rondaan. Kita berusaha. Tapi, bagaimana perompak itu lebih berani dan lebih rajin buat rondaan.

Saya bimbang. Dan tentu kami akan sukar untuk lena selepas ini. Memikir, malah menjadi trauma dengan malam. Semoga Allah melaknat perompak itu.
Tadi, saya dimaklumkan –malam yang sama- ada rumah yang dirompak dan mangsa yang ditetak.

5 comments:

Melihat Kesunyataan said...

Rendra,
Syukurlah Rendra sekeluarga selamat kerana salah seorang ahli keluarga cepat sadar.
Saya sendiri berpendapat bahawa negara kita kini sudah tidak aman. Kalau ada pemimpin dalam ucapannya,berkata, kita harus bersyukur kerana negara kita aman damai. Keamanan itu hanya untuk mereka, kerana mereka ada pengawal baik di rumah mahupun dijalanan.

Nur Fatiha Fadila said...

jirann belakang rumah saya, dirompak tiga hari lalu. mangsa diikat sementara perompak mengambil barang berharga. alhamdulillah, mangsa tidak diapa-apakan. Semoga kita terpelihara daripada dugaan itu.

Rusdi Abd Rahman said...

Sdra Wahyu,
Berhati-hati sentiasa dan bersiap sedia dalam semua keadaan termasuk juga ketika dalam kenderaan. Pelbagai kaedah baharu perampok (pinjam kata Indonesia) gunakan dalam dunia serba 'indah dan nyaman' kini.

Wahyu Budiwa Rendra said...

tn.hj yang dihormati. kenyataan tn.hj itu ada benarnya. jika dibandingkan dengan situasi dahulu,jendela dan pintu dibuka tengah malam untuk ambil angin; tidak ada rasa curiga. tapi sekarang, semuanya 'berbesi'. malam adalah kekhuatiran.

Wahyu Budiwa Rendra said...

sdr.wardah yang rajin menitip jejak. kita perlu sentiasa berhati-hati. jenayah rompakan semakin menjadi-jadi. semoga kita dalam lindungan-Nya.