Monday, October 25, 2010

Selapis Langit Bukat

1
selapis langit bukat membalut hati kaudu
setelah sebelah belati menyiat setiap sirat,
masih tidak mampu – memilih
berdiri pongah membusung
nanar likat, semakin sebati dengan darah,
berlari kudrat bersama kesumat, membebat
selaksa kudis-luka mengalir pekat.

disorok gelodak ombak yang lahir
dari durja dusta, menerjang amuk gelombang
debur-nyaring-kasar menghempas kekaburan
semakin melahar – dan tampak
kecelaruan sekian melebar, pasir prasangka
memotret bahasa tubuh; tidakkah
kurnia keikhlasan zahir secara alamiah?

2
kerut masa akan memamah angkuh
rahsia usia berada dalam genggam takdir
sejauh menara mana kepak keliru
mahu terbang membawa semua semu;
kelak kembali ke liang akhir,
ditara-ditimbang batin dan lahir
kerana segala ini milik al-Khabir.



- W.B.Rendra,
Johor Bahru


(Mingguan Malaysia, 24 Okt. 2010)

5 comments:

zulkifli khair said...

Tahniah dengan penerbitan buku motivasi santai, juga dengan reka bentuk blog yang semakin 'mengancam'. Minta tolong ubah URL blog saya, terima kasih Ren.

Wahyu Budiwa Rendra said...

Terima kasih, Kanda Hj. URL blog telah sedia diubah.

Sahrunizam Abdul Talib said...

Rendra,

Tahniah terus prolifik.

Saya dah berpindah ke blog baru: http://szirdina.blogspot.com

Wahyu Budiwa Rendra said...

Kanda Sahrunizam yang dihormati,
terima kasih berkunjung.

Pautan di bawah akan saya ubah.

Azhar Salleh said...

Salam DINDA WAHYU,
Tahniah. Puisi yang berfalsafah.