Wednesday, September 22, 2010

Dengan izin-Nya jua

Tulis semula sejarah bangsa secara kreatif - MB

JOHOR BAHRU 19 Sept. - Golongan sejarawan disaran menulis semula perjalanan sejarah negara dan masyarakat negara ini dengan mengolahnya secara lebih kreatif supaya menarik minat generasi baru untuk lebih menghayatinya.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, adalah lebih menarik dan berkesan sekiranya para penulis dapat memaparkan secara kreatif pergolakan yang berlaku di kalangan masyarakat lampau dalam bidang pembangunan ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya menerusi persepsi baru yang lebih segar.

Menurutnya, penulisan semula sejarah tempatan perlu diteruskan dengan berpaksikan hasrat dan keinginan untuk menyerlahkan peranan masyarakat tempatan dalam sejarah perjuangan bangsa.

''Usaha tersebut dapat memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai perjalanan sejarah bangsa dan negara. Bukanlah bermakna sejarah yang tertulis tidak betul. Apa yang saya maksudkan adalah penulisan semula sejarah bangsa dan negara dengan tujuan untuk 'meluruskan' segala yang telah tertulis.

"Para sejarawan patut menggali semula apa yang sebenarnya berlaku di kalangan kelompok masyarakat pada zaman tertentu dengan penuh rasa keinsafan bagi mewujudkan keadilan," katanya dalam teks ucapan pada majlis penyampaian hadiah Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor III di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, semalam.

Teks ucapannya itu dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil.

Rahimah Muda muncul pemenang utama dengan karya Tiara Pesona dan menerima hadiah wang tunai RM40,000 termasuk RM5,000 hadiah sagu hati bagi karya Bahtera Tuan Saya Layarkan.

Tempat kedua menjadi milik Allahyarham H. Sudarno Mahyudin, peserta dari Pekan Baru, Indonesia untuk nukilan bertajuk Hikayat Raja Kecik yang melayakkannya menerima hadiah wang tunai RM25,000.

Novel Empayar IX nukilan Wahyu Budiwa Rendra A. Wahid pula dipilih sebagai pemenang ketiga dengan wang tunai RM15,000.

Lain-lain pemenang sagu hati adalah Razali Endun menerusi karya Tawarikh Ibu, Mohd. Kassim Mahmud (Membebat Martabat), Abdul Latif Talib (Darah Mengalir di Batu Pahat dan Dato' Onn Jaafar).

Dalam pada itu Abdul Ghani turut menyarankan agar dalam sayembara seterusnya, tumpuan harus diberikan kepada penulisan bersandarkan sejarah sosial masyarakat Johor masa lampau.

Katanya, adalah lebih menarik sekiranya para penulis dapat memaparkan secara kreatif pergolakan yang berlaku dalam masyarakat lampau supaya generasi muda lebih berminat untuk menghayati sejarah.


(Sumber : 20.9.2010, Utusan Malaysia)

4 comments:

A. Muziru Idham said...

Tahniah abang Rendra!^_^

Mawar said...

Dinda Ren
TAHNIAH!

Wahyu Budiwa Rendra said...

Terima kasih, Sdr.Muziru.

Wahyu Budiwa Rendra said...

Kanda Mawar yang dihormati. terima kasih; ziarah dan menitip jejak :)